Program Demonstrasi Latihan Kebakaran (Fire Drill)
17 Mac 2019 | Aktiviti TerkiniPada 16 Mac 2019, Pusat Internet (PI) Kg. Karangan telah menjayakan program demonstrasi latihan kebakaran bersama Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia Daerah Kuala Krai bertempat di PI Kg Karangan, Kuala Krai, Kelantan. Program ini turut mendapat kerjasama daripada pihak PI Maxis di daerah Gua Musang iaitu PI Lebir dan PI Chalil. Demonstrasi ini telah diadakan bermula jam 3.00 petang sehingga 5 petang dengan penyertaan dan kehadiran penduduk kampung di sekitar Kg Karangan.
Tujuan demonstrasi kebakaran ini diadakan adalah untuk mendedahkan kepada masyarakat setempat tentang tindakan yang perlu diambil jika terjadi sesuatu kebakaran samada di rumah mahupun di luar rumah atau sekiranya ianya berlaku di PI. Selain itu, pihak bomba juga memberikan tip dan kaedah yang wajar diambil untuk mengelakkan sebarang kebakaran daripada berlaku. Secara tidak langsung, program ini juga dapat menjalinkan hubungan yang erat antara agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan dan pencegahan kebakaran bersama-sama penduduk setempat.
Antara aktiviti yang dijalankan pada program ini adalah demonstrasi cara-cara menggunakan alat pemadam api dan memadam kebakaran. Penonton juga diberi peluang untuk menyertai demonstrasi tersebut dengan memadam sendiri api kebakaran yang dimarakkan oleh pihak bomba. Disamping itu, komuniti yang hadir diberi taklimat klik dengan bijak (KDB) sebagai panduan penggunaan internet secara positif dan selamat. Diharapkan program ini dapat memberi manfaat kepada semua pihak yang hadir dan dapat dijalankan dengan lebih jaya pada masa akan datang. Terima kasih diucapkan kepada semua yang hadir dan memberi kerjasama sepanjang program berlangsung.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: